Saturday, August 8, 2009

...jangan baca...

Assalamu'alaikum w.b.t.

Utama sekali, tujuan saya bukan untuk mencetuskan kontroversi, jauh sekali untuk mencabar pegangan politik mana-mana pihak. Oleh sebab itu, saya terlebih dahulu mohon maaf sekiranya tulisan saya ini mencetuskan rasa tidak senang kepada sesiapa pun yang sudi membaca.

Saya akui diri ini termasuk di dalam golongan yang tidak ambil kisah sangat tentang isu-isu politik, baik yang di peringkat domestik, mahupun antarabangsa. Tetapi, saya agak terpanggil untuk menyatakan pendapat saya yang barangkali tidak relevan lantas tidak perlu dipedulikan.

I.S.A......

Sebagai rakyat biasa yang juga seorang pelajar, saya ingin mengutarakan beberapa soalan berkenaan isu ini. Sekiranya kita termasuk di dalam golongan yang tiada sebarang kepentingan politik dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada keselamatan negara, kenapa kita harus berasa marah (atau takut) dengan perlaksanaan Akta Keselamatan dalam Negeri ini? Adakah dengan wujudnya atau tidak akta ini akan memberi kesan sangat kepada kita? Secara jujurnya, soalan-soalan ini saya utarakan bukan atas dasar untuk menguji, tetapi atas dasar ingin tahu.

Saya mengambil contoh undang-undang hudud. Jika kita tidak bersalah, kenapa perlu takut dengan perlaksanaan undang-undang ini? Bukan maksud saya untuk menyamakan taraf undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan manusia yang nyata ada kekurangannya, tetapi untuk mempersoalkan reaksi segelintir daripada masyarakat umum yang kadangkala berbaur negatif saat membicarakan tentang isu-isu sebegini, sedangkan bak kata pepatah orang-orang lama, "berani kerana benar, takut kerana salah".

Sebagai seorang pelajar, tugas utamanya adalah untuk menuntut ilmu pengetahuan yang akhirnya boleh disumbangkan untuk meningkatkan martabat agama, bangsa dan tanah air. Maka jika melihat daripada perspektif seorang pelajar pula, secara peribadinya, saya tidak merasakan sebarang perbezaan yang ketara sama ada I.S.A. dilaksanakan atau tidak. Boleh jadi juga kerana saya tiada sebarang kepentingan atau terikat dengan mana-mana fahaman, dalam soal politik khususnya.

Akhir sekali, secara peribadi saya berpendapat bahawa jika I.S.A. boleh diterjemahkan sebagai satu sistem, maka tiada masalah-masalah yang terlalu serius yang wujud di dalam sistem tersebut. Masalah mungkin wujud pada pihak yang melaksanakannya. Jadi, yang wajar dimansuhkan bukan sistemnya, tetapi 'pemansuhan' sifat mazmuumah lalu kembali memantapkan sifat mahmuudah dikalangan pihak-pihak pelaksananya; MANUSIA. Mungkin untuk mengubah sikap manusia, meskipun melalui pendekatan yang subtle, adalah satu perkara yang agak far-fecthed dan agak ambitious, namun ia bukan sepenuhnya mustahil kerana selama ini, dengan mengambil tindakan yang berbentuk confrontation juga tidak membuahkan hasil seperti yang diidam-idamkan. Iktibar daripada hadith:

Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari - riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Tidak ada seseorang hamba menahan marah kerana Allah Ta'ala melainkan Allah akan memenuhinya dengan keamanan dan keimanan - riwayat Abu Daud.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment